Sign In
Mobirise Website Builder
Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan HBK Ke-17

https://www.pelitabrunei.gov.bn/PublishingImages/BERITA/2022/08%20OGOS/090822/01HBK17/02.jpg

https://www.pelitabrunei.gov.bn/PublishingImages/BERITA/2022/08%20OGOS/090822/01HBK17/03.jpg

https://www.pelitabrunei.gov.bn/PublishingImages/BERITA/2022/08%20OGOS/090822/01HBK17/07.jpg

https://www.pelitabrunei.gov.bn/PublishingImages/BERITA/2022/08%20OGOS/090822/01HBK17/09.jpg

BERAKAS, Selasa, 9 Ogos. - Hari Belia Kebangsaan (HBK) yang disambut pada setiap 1 Ogos merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap pergerakan belia di negara ini, di mana para belia berkumpul dengan tujuan yang bermakna. Generasi belia merupakan penggerak utama kepada kemajuan bangsa dan negara.


Sehubungan itu, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Majlis Sambutan HBK Ke-17 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas setentunya memberikan makna yang sungguh mendalam kepada para belia di negara ini dan sebagai suntikan semangat para belia untuk terus menggandakan usaha dalam menyumbangkan tenaga dalam sama-sama mencapai matlamat utama Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 serta Wawasan Brunei 2035.


Berangkat sama pada majlis sambutan tersebut ialah paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.


Menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-17, Tahun 2022, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dan Timbalan Menteri Tenaga, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Kali Ke-17, Tahun 2022 dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain. 


Sejurus keberangkatan, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dimainkan.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Seterusnya majlis diikuti dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah. 


Pada majlis itu, Ikrar Belia dibacakan oleh seramai 50 belia yang terlibat dalam kesukarelawanan dan mempunyai pencapaian dalam pelbagai bidang yang terdiri dari Institusi Pendidikan, Persatuan Beruniform, Persatuan dan Kelab dan Alumni-alumni.


Bacaan Ikrar Belia diketuai oleh Pembaca Utama, Pengusaha Tambang.BN, Awang Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad dan Pengiring, lepasan graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Muhammad Iqbal Syakib bin Haji Syuib dan Pengiring II, Pegawai Psikologi Pendidikan di Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pengiran Salimatul Sa'ada binti Pengiran Mohd. Saleh.


Majlis disusuli dengan tayangan video yang memaparkan perjalanan individu yang mempunyai cabaran berbeza di mana ada yang kecundang di tengah jalan tetapi masih ramai yang bangkit dan berjaya. 


Penceritaan yang dipamerkan itu diharap akan menjadi pembakar semangat dan meningkatkan motivasi kepada belia untuk terus mengapai impian demi agama, membangun bangsa dan negara ke arah mendukung usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035.


Turut menyerikan sambutan, Persembahan Khas Belia oleh Kumpulan Koir 'Astaka Darussalam' seramai 14 belia dari gabungan alumni mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam, Institusi-institusi Pengajian Tinggi dan Permata Permai.


Acara kemuncak sambutan ialah Penyampaian Anugerah HBK 2022 dalam empat kategori iaitu Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang Untuk Belia yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia.


Penerima-penerima Anugerah HBK dalam Kategori Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat dan Pemimpin Muda Belia masing-masing telah menerima sebuah trofi, kain tenunan Brunei yang direka khas dan eksklusif. Keistimewaan kain tenunan yang diterima adalah reka bentuk Kain Jong Sarat dan corak susunan Bunga Bertabur digunakan dengan penyusunan bunga dan motif  yang menjurus kepada cerminan sifat positif diri belia dalam segala aspek ke arah mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Untuk penerima Anugerah Belia Cemerlang Tahun 2022, Kain Jong Sarat yang diterima adalah Kain Jong Sarat Bunga Bintang Gemilang. Untuk penerima Anugerah Belia Berkhidmat, Kain Jong Sarat yang diterima adalah Kain Jong Sarat Permata Bangsa. Manakala, bagi penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia, Kain Jong Sarat yang diterima adalah Kain Jong Sarat Bunga Kebahagiaan.   


Penerima-penerima Anugerah HBK dalam Kategori Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat dan Pemimpin Muda Belia juga menerima sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000. 


Manakala dalam Kategori Projek Cemerlang Untuk Belia menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang tunai bagi perkembangan dan pembangunan projek sebanyak sebanyak BND3,500.


Penerima Anugerah Belia Cemerlang diberikan kepada Pensyarah / Ketua Unit Perancangan Strategik / Ketua Unit Pembangunan Profesional, UNISSA / Pegawai Perhubungan Awam, Strayholders, Dr. Awang Mohd. Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.


Penerima Belia Berkhidmat diberikan kepada Pemangku Pegawai Penerangan, Jabatan Penerangan / Pengerusi dan Pengasas Bersama Projek Bina Ukhwah dan Projek FEED/ Pengasas Program Bina Ukhwah Training Series, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahhuddin.


Manakala penerima Pemimpin Muda Belia diberikan kepada Ketua Kampung Sengkarai, Tutong / Kumpulan IMPAK Tutong / Badan Kemajuan Kreatif (BKK), Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.


Seterusnya, penerima Projek Cemerlang Untuk Belia diberikan kepada Agus Muslim dengan Projek Bloodkad. Bloodkad merupakan satu aplikasi yang membantu menyelaras proses pendermaan darah secara digital agar dapat diuruskan dengan cepat, efisien dan pengurangan penggunaan kertas dari segi pendaftaran penderma darah, pengisian borang pemeriksaan kesihatan dan tempahan slot menderma.


Kain-kain Tenunan Brunei tersebut merupakan salah satu hadiah iringan yang diterima oleh setiap penerima individu anugerah sempena Sambutan HBK sejak tahun pertama majlis diadakan pada tahun 2006. 


Kain Tenunan Brunei adalah salah satu khazanah warisan budaya Melayu yang diwarisi turun-temurun dalam masyarakat kita sehingga ke hari ini.


Mulai Sambutan HBK Ke-17, KKBS telah membuat penambahsuaian dengan memperkenalkan reka bentuk Kain Tenunan Brunei yang dicipta secara khusus dan eklusif untuk penerima anugerah bagi Kategori Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat dan Pemimpin Muda Belia.


Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudiannya dijunjung berangkat ke Pameran Hari Belia yang memfokuskan kecemerlangan belia yang melakar nama dalam bidang keusahawanan, teknologi dan inovasi serta belia yang bejaya dan berpotensi menembusi pasaran tempatan, serantau dan antarabangsa.


Sebanyak empat kluster utama dipilih dalam tema pameran Hari Belia kali ini termasuk Gaya Hidup (Lifestyle), Ilm (Knowledge), Teknovasi (Tech & Innovation) dan Pembangunan Mampan (Sustainable Development).


Baginda seterusnya dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan dan berkenan menerima pesambah daripada Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-17, Tahun 2022.


Setelah itu, baginda berserta kerabat diraja dijunjung bagi Majlis Santap. Sebelum berangkat meninggalkan majlis baginda dan kerabat diraja dijunjung bagi sesi bergambar kenangan.


Konsep Sambutan HBK tahun ini memfokuskan kepada keusahawanan dan teknologi dan tema sambutan pula ialah 'Belia Siaga Masa Depan'. 


Tema HBK pada tahun ini dikekalkan seperti tahun 2019, 2020 dan 2021 kerana tema ini masih dilihat relevan dengan situasi sekarang.


Strategi untuk mempersiapkan belia siaga masa depan merupakan tanggungjawab bersepadu antara pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan awam (NGO) sebagai agenda utama dalam pembangunan negara.


Mempertajam, meneroka serta menyerlahkan kemahiran dan potensi modal insan belia siaga masa depan menjadi strategi negara yang harus dilaksanakan bersungguh-sungguh bagi melahirkan belia yang cemerlang.


Tema pada tahun ini juga bertepatan dengan pengisytiharan tahun 2022 sebagai Year of ASEAN Youth dan selaras dengan matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 ke arah mendukung Wawasan Brunei 2035.  


Peranan belia adalah penting bagi menyumbang kepada pembangunan sumber tenaga manusia dan komuniti di samping memastikan penglibatan aktif golongan ini ke arah keamanan serta mengukuhkan persefahaman bagi mendukung aspirasi One ASEAN Identity. Para belia juga perlu meningkatkan penguasaan kemahiran Abad Ke-21 serta kemahiran digital.


Dalam pada itu, beberapa acara sampingan juga telah pun disusun bagi sama-sama memeriahkan lagi Majlis Sambutan HBK.  


Antaranya, Konvensyen Hari Belia yang diadakan bermula 9 Ogos 2022 hingga 11 Ogos 2022 di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. 


Konvensyen ini bertujuan untuk menjadi wadah aktiviti pertemuan para intelektual, penggiat (mengikut bidang), belia, profesional, usahawan dalam sama-sama isu-isu semasa serta amalan terbaik dan membincangkan berkongsi-kongsi kemahiran. 


Konvensyen ini akan mengetengahkan tajuk-tajuk perbincangan dan intelektual yang terpilih dalam kalangan profesional, usahawan belia serta pakar-pakar dalam bidang ekonomi, industri kreatif dan digitalisasi serta inovasi bagi mengongsikan pandangan dan ilmu yang bermanfaat untuk para belia secara amnya.


Di samping itu, Majlis Doa Kesyukuran (Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Bacaan Surah Yaa Siin, Bertahlil serta Doa Kesyukuran) telah diadakan pada Khamis, 28 Julai 2022 bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.


Seterusnya, Khutbah Jumaat Khusus Sempena Sambutan HBK Ke-17 pada Jumaat, 5 Ogos 2022 dan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja sempena Sambutan HBK Ke-17, Tahun 2022 telah diadakan pada Isnin, 1 Ogos 2022 lalu dan Festival Hari Belia akan diadakan sehingga bulan Disember 2022 di keempat-empat daerah.


Festival Hari Belia merupakan salah satu aktiviti yang akan diadakan bagi menyemarakkan lagi Sambutan HBK pada tahun ini. 


Festival ini akan dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan 'Dari Belia Untuk Belia'. Sebanyak 17 aktiviti berimpak tinggi akan dilaksanakan dengan melibatkan beberapa rakan strategik baik dari agensi kerajaan, agensi swasta dan pergerakan belia. Festival ini akan diadakan bermula 1 Ogos sehingga Disember 2022. 


Sumber : Pelita Brunei

Attachments