Sign In
Mobirise Website Builder
Ketengahkan pertubuhan belia dalam kesedaran perubahan iklim

Siaran Akhbar dan Foto: Bank Islam Brunei Darussalam


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Ogos. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) baru-baru ini mengetengahkan pertubuhan pimpinan belia tempatan yang mengambil tindakan dalam memerangi perubahan iklim pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-17, Tahun 2022 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mendengarkan taklimat dari pihak BIBD mengenai usaha bank dalam mempromosikan kemampanan melalui Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian BIBD.

 

Pihak bank baru-baru ini telah melancarkan skrin LED berkuasa solar pertama negara untuk meningkatkan kesedaran mengenai tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan jejak alam sekitar keseluruhan organisasi.

 

Turut hadir pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan tersebut ialah rakan kongsi BIBD - Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS), Komuniti untuk Brunei (CFB) serta NGO belia tempatan, Green Brunei, Reef Check Brunei dan My Action for SDG's.

 

"Sebagai rakan kongsi dalam kemajuan untuk masa hadapan yang mampan, BIBD sentiasa bekerjasama dengan pelbagai organisasi kerajaan dan bukan kerajaan yang matlamat dan nilainya sejajar dengan kami.

 

"Kami berbangga untuk menyokong rakan kongsi kami - NGO tempatan yang diketuai oleh para belia yang melakukan begitu banyak dari peringkat akar umbi untuk melibatkan diri dengan orang ramai dan meningkatkan kesedaran pada masa yang sama, mengambil tindakan tegas dalam memerangi perubahan iklim," kata Ketua Pegawai Pemasaran BIBD dan Pengerusi Kumpulan Transformasi Kemampanan, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar.

 

Menurut beliau, harapan BIBD apabila melancarkan Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian BIBD ialah BIBD akan memimpin dalam kalangan korporat dan masyarakat Brunei untuk menunjukkan kepentingan mengamalkan prinsip kemampanan dalam kehidupan seharian sambil bekerjasama untuk memastikan masa hadapan yang lebih baik bagi generasi muda.

 

"Baru-baru ini kami menjadi organisasi swasta pertama yang bekerjasama dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Perlumbaan Menuju Sifar melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam mengenai perubahan iklim. Ia adalah satu penghormatan untuk dapat menggunakan platform kami untuk menyerlahkan kerja penting yang sedang dilakukan oleh rakan kongsi strategik kami," tambah Hajah Nurul Akmar lagi.

 

Green Brunei, platform yang diterajui belia dalam menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui pendidikan, pemuliharaan dan advokasi, turut mempamerkan aktiviti penanaman pokok mereka sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk mengurangkan kesan berbahaya daripada penebangan hutan.

 

Di bawah Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian BIBD, dan sebagai sokongan kepada Protokol Hijau Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, BIBD telah berjanji untuk menanam 2,000 pokok menjelang akhir tahun di pelbagai lokasi di seluruh negara.

 

Bersama Green Brunei dan Komuniti untuk Brunei, BIBD telah pun menganjurkan dua aktiviti penanaman pokok berasingan pada tahun ini sebagai sebahagian daripada siri inisiatif penyerapan karbon.

 

Inisiatif penanaman pokok tersebut dijangka akan dilengkapkan dengan kempen Donate Trees for Climate Change, dan orang ramai dijemput untuk menderma pokok melalui pelbagai saluran digital seperti  BIBD NEXGEN Wallet, platform Komuniti untuk Brunei serta Progresif Pay dan lain-lain.

 

Turut mengambil bahagian dalam Sambutan Hari Belia Kebangsaan ialah rakan kongsi BIBD, Reef Check Brunei, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdedikasi untuk pemuliharaan ekosistem terumbu lautan di Negara Brunei Darussalam, mempamerkan peranan penting terumbu karang dalam menyediakan ekosistem untuk kehidupan di bawah air.

 

Kumpulan itu telah giat menjalankan projek pemuliharaan karang di luar pantai Brunei di samping aktiviti pendidikan, penyelidikan dan kesedaran pemuliharaan.

 

Menurut Reef Check Brunei, batu karang menyokong 25 peratus kehidupan laut, menggalakkan kehidupan tumbuhan dan mengurangkan kesan ribut. Terumbu karang juga didapati menyokong penyelidikan ke arah penawar perubatan untuk kanser dan penyakit Alzheimer.

 

My Actions for SDGs pula merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang menjalankan aktiviti kesedaran dan penglibatan masyarakat mengenai Matlamat Pembangunan Mampan di Brunei, turut menekankan usaha mereka dalam mendidik, memperkasa dan melibatkan orang ramai.

 

Rangka Kerja dan Hala Tuju Kelestarian BIBD adalah sejajar rapat dengan Maqasid Syariah serta matlamat negara seperti Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di bawah Agenda Pembangunan Lestari 2030 dengan Negara Brunei Darussalam telah menandatanganinya.

 

Oleh itu, My Actions for SDGs melengkapkan usaha bank dalam mempromosikan tindakan dan inisiatif ke arah mencapai SDG PBB.

 

Sementara itu, Kebawah DYMM juga berkenan menerima taklimat daripada Komuniti bagi Brunei mengenai Kempen Negara Lestari, kempen seluruh negara untuk mencipta tindakan kecil tetapi memberi impak untuk memerangi krisis perubahan iklim dan menuju ke arah ekonomi 'circular'.

 

Sebagai inisiatif CSR BIBD, Komuniti untuk Brunei komited untuk melaksanakan inisiatif yang menyokong matlamat kemampanan BIBD dengan bekerjasama dengan rakan kempen dan memupuk kerjasama dalam industri untuk memberi inspirasi kepada tindakan positif.

 

Turut menyembahkan taklimat ke hadapan majlis Kebawah DYMM sebagai salah satu rakan strategik BIBD ialah Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS), yang mengetengahkan pelbagai inisiatif dan usaha yang telah mereka lakukan ke arah menggerakkan dan memantau dasar, strategi dan tindakan perubahan iklim Negara Brunei Darussalam.

 

BIBD baru-baru ini bekerjasama dengan BCCS untuk mengadakan Pesta Eko semasa Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022).

 

Visi strategik Kumpulan BIBD secara konsisten diselaraskan dengan Kebawah DYMM melalui Wawasan Brunei 2035 dan baru-baru ini, melalui rangka kerja kemampanan, bank berhasrat untuk melengkapkan usaha kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari PBB (UN SDGs) dengan mewujudkan pelan holistik yang menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi yang berkekalan, pemerkasaan komuniti, gaya hidup lebih sihat dan pengeluaran dan penggunaan yang lebih mementingkan alam sekitar.

 


Attachments