Sign In
Mobirise Website Builder

TITAH KDYMM

SHBK Ke-14, 2019

SHBK Ke-13, 2018

SHBK Ke-12, 2017

SHBK Ke-11, 2016

SHBK Ke-10, 2015

SHBK Ke-09, 2014

SHBK Ke-08, 2013

SHBK Ke-07, 2012

SHBK Ke-06, 2011

SHBK Ke-05, 2010

SHBK Ke-04, 2009

SHBK Ke-03, 2008

SHBK Ke-02, 2007

SHBK Ke-01, 2006

            


T I T A H

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah

 Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddin,

 Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-14 pada Hari Sabtu, 02 Zulhijjah 1440, 3hb Ogos 2019


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur, kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala,
kerana atas izin-Nya jua dapatlah kita berkumpul menghadiri
Perhimpunan Hari Belia kali ke-14 pada pagi ini. 

Di masa akhir-akhir ini,
Beta turut berbesar hati atas komitmen tinggi para belia terhadap pembangunan negara.
Ini bukan sahaja melalui pelbagai penglibatan dan inisiatif,
bahkan juga turut menyumbang secara langsung kepada pembentukan dasar-dasar Kerajaan,
seperti melalui Kongres Belia Kebangsaan 2019 dan rebiu Dasar Belia Negara. 

Juga semakin menonjol, para belia sekarang sudah turut meminati
bidang pertanian dan agri makanan, sebagai satu pilihan perusahaan. 

Ini sangatlah bagus, kerana bidang pertanian berpotensi untuk dikembangkan,
lebih-lebih lagi sesuai dengan keupayaan para belia untuk menggunakan kaedah-kaedah baru,
yang dilihat mungkin mudah untuk meningkatkan produktiviti
dan sekaligus menembusi pasaran luar negara. 

Para belia berhak untuk menerima ucapan syabas
kerana menyahut cabaran menyertai Program Pendedahan Pertanian dan Perladangan berskala besar. 

Beta yakin, ini boleh membawa perubahan signifikan kepada
kehidupan kita pada masa kini dan akan datang.
Para Belia, dengan didorong oleh kepesatan teknologi,
tidak akan berundur ke belakang meninggalkan bidang-bidang yang menjadi favorite,
seperti kesenian dan kreatif. Mereka akan terus meneroka pelbagai produk untuk dikembangkan. 

Ini semua adalah pelaburan yang perlu diperkasa.
Para belia wajar tampil ke hadapan untuk memainkan peranan.
Mereka tidak boleh jumud  (beku), tetapi mustahak untuk aktif dan dinamik sepanjang masa. 

Kerajaan Beta sangat prihatin,
supaya para belia jangan hanya duduk-duduk atau asyik berseronok sahaja,
tetapi paculah semangat untuk menjiwai usaha-usaha yang berkebajikan.
Sebagai contoh dari keprihatinan ini,
Kerajaan Beta telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pandu Keusahawanan Belia.
Jawatankuasa ini khusus sebagai pemudah cara bagi para belia memulakan perniagaan dan perusahaan,
sehingga dengan itu, akan memungkinkan mereka benar-benar berdaya saing
membina diri dan secara langsung menyumbang kepada pembangunan negara. 

Para belia kita tidak lagi terkurung dalam kekosongan,
tetapi telah muncul membawa idea-idea baru untuk kehidupan.
Maka sehubungan ini, Kerajaan Beta telah mengambil langkah menyediakan
beberapa program keusahawanan untuk direbut oleh mereka. 

Pada tahun lepas, kita telahpun menyediakan 60 kontrak,
dimana 10 daripadanya telah dianugerahkan kepada pengusaha-pengusaha belia,
sedang sasaran kita sehingga akhir tahun 2021 adalah sebanyak 200 kontrak. 

Kita tidak mahu untuk hanya jadi penonton,
tetapi yang kita mahu ialah untuk bersaing sehingga ke arena global.
Namun persaingan, bukanlah dengan tangan kosong, tetapi dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran.
Tanpa ilmu, pengalaman dan kemahiran, tidak akan ada apa-apa yang boleh dihasilkan. 

Beta percaya, para belia kita adalah mampu untuk memenuhi ciri-ciri berilmu,
berpengalaman dan berkemahiran. 

Untuk akhirnya,
bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan ini,
Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini
atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.