Sign In
Mobirise Website Builder

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-13 pada Hari Rabu, 19 Zulkaedah 1439, 1hb Ogos 2018


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat pula menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Ke-13 pada pagi ini.

Di kebelakangan ini, Beta mendapati, berlaku kemajuan dan perkembangan positif dikalangan para belia kita, khasnya dalam bidang keusahawanan dan kemasyarakatan, sama ada secara individu mahupun perkumpulan, bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat serantau dan antarabangsa.

Hampir setiap hari kita mendengar dan membaca di dalam laman-laman media sosialtentang kejayaan anak-anak muda menerokai pelbagai bidang dalam kehidupan. Ini setentunya menjadi pembakar semangat kepada semua.

Kita adalah menyedari akan keperluan usaha. Kerana rezeki tidak datang bergolek, melainkan memerlukan usaha, dan dengan usaha itulah juga kita mampu menembusi
dunia pasaran.

Dengan adanya ledakan maklumat dan pesatnya jaringan komunikasi berteknologi tinggi, maka bidang perniagaan dan usahawan adalah terbuka lebih luas. Dengan terciptanya platform seperti ini, para belia seharusnya lebih kreatif lagi memperkasa diri masing-masing.

Pada masa yang sama ,Kerajaan Beta juga sedang menyusun semula dan memperbaiki‘ Eco-System Keusahawanan Belia’ untuk membantu mereka menjadi pengusaha yang berjaya.

Usaha-usaha ini termasuklah mengemaskinikan program sedia ada di bidang ‘capacity building’, penyediaan kemudahan infrastruktur yang berbentuk fizikal dan ‘digital’, sertake mudahan pembiayaan kewangan dan ‘market access’.

Di samping itu, Kerajaan Beta juga akan turut melangkah lebih jauh menyediakan ‘Eco-System Keusahawanan Belia’ yang lebih komprehensif. Salah satu daripada pembaikan
‘Eco-System’ tersebut ialah dengan mempromosi dan menyediakan peluang-peluang perniagaan yang spesifik untuk membantu para belia memulakan perusahaan.

Pihak agensi kerajaan yang berkenaan akan bekerja-rapat dengan pengusaha-pengusaha belia di dalam mengenal-pasti bidang-bidang tertentu, seperti menyediakan pelan perniagaan dan kemudahan-kemudahan lain.

Ke arah ini, Beta amat gembira dengan adanya pelancaran salah satu program pada hari ini yang dipanggil sebagai I-Usahawan. Program ini akan memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha belia tempatan bagi mengambil bahagian di dalam tender atau kontrak-kontrak berisiko rendah dan sebagainya.

Setakat ini, terdapat sebanyak 30 kontrak industri minyak dan gas bagi program perintis I-Usahawan. Program ini berpotensi untuk dilaratkan ke sektor lain dan juga sektor kerajaan.

Pada satu ketika dahulu kita mempunyai program peladang muda. Dengan teknologi yang lebih moden dan peluang yang lebih luas di dalam Agribusiness, maka mungkin saja program ini sesuai untuk dihidupkan semua, dengan pendekatan yang baru.

Pada hemat Beta, semua inisiatif yang sedia ada dan sedang dirancang, jika dimanfa’atkan sepenuhnya, tidak mustahil ia berupaya untuk melahirkan ratusan pengusaha dan ribuan peluang pekerjaan.

Oleh itu, pastikanlah ia, tidak disia-siakan.

Untuk akhirnya, bersempena Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini yang telah memberikan sumbangan mereka kepada negara dan bangsa.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.