Oleh
: Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji
Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid,
Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohammad Hanif A. Halit
BERAKAS, Selasa, 1 Ogos. - Belia sebagai generasi harapan bangsa dan negara bakal memikul tanggungjawab meneraju negara masa kini dan di masa hadapan.
Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji
Nazmi bin Haji Mohamad menyembahkan, melahirkan belia yang cemerlang dan
siaga masa depan adalah impian negara.
Selaku
Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK)
Ke-18, Tahun 2023, Yang Berhormat seterusnya menyembahkan, belia perlu
mampu memanfaatkan peluang dari transformasi teknologi dan ekonomi bagi
memajukan diri, memartabatkan bangsa dan seterusnya melonjakkan
pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi dan mampan.
“Dalam
membangun potensi belia, tidak dinafikan pendekatan senegara adalah
sangat signifikan bagi memastikan apa juga perancangan dan program yang
dilaksanakan adalah efektif dan berimpak tinggi serta menyumbang kepada
pencapaian visi serta matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS)
2020 - 2035," sembah Yang Berhormat semasa Majlis Sambutan HBK Ke-18,
Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan
Antarabangsa, Berakas, di sini.
Yang
Berhormat seterusnya menyembahkan bahawa pelaksanaan Pelan Tindakan
DBNS 2020 -2024 dan juga Rancangan Kerja Belia ASEAN 2021 - 2025 serta
Rancangan Kerja Belia ASEAN Plus Three yang melibatkan 10 buah Negara
ASEAN dan rakan dialog pada masa ini adalah berjalan dengan lancar.
Sembah
Yang Berhormat lagi, pelan-pelan tindakan itu akan sentiasa dikemas
kini untuk mencapai Prestasi Petunjuk Utama dan matlamat DBNS 2020 -
2035 dengan mengambil kira persekitaran semasa.
Dalam
sumbangan belia ke arah Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable
Development Goals (SDG) sembah Yang Berhormat, Dialog Belia SDG telah
dilaksanakan bersama pihak-pihak berkepentingan dengan sokongan United
Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UN
ESCAP) pada 15 hingga 17 Mei 2023.
Di
akhir dialog tersebut sembah Yang Berhormat, SDG Youth Statement telah
dihasilkan dan dijadikan sebahagian daripada Laporan Voluntary National
Review (VNR) yang telah disampaikan di High-Level Political Forum on
Sustainable Development di New York baru-baru ini.
Dalam
memastikan kesinambungan dialog tersebut sembah Yang Berhormat lagi,
pihak Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengumumkan BIBD
Sustainability Youth Leaders Award sebagai dorongan kepada belia untuk
menghasilkan projek yang memberi impak kepada SDG.
“Dari
aspek kesukarelawanan, Aplikasi Mengalinga yang dilancarkan pada tahun
2021, telah merekodkan lebih dari 340 pelaksanaan Program
Kesukarelawanan di seluruh negara dan setakat ini sebanyak lebih 2,700
individu dan 160 buah organisasi berdaftar di dalam sistem tersebut,"
sembah Yang Berhormat.
Bermula
1 Ogos ini sembah Yang Berhormat, perisian Aplikasi Mengalinga akan
dinaik taraf dengan menambah ciri-ciri baharu yang secara tidak langsung
akan dapat menarik lebih ramai golongan belia dan masyarakat untuk
melaksanakan aktiviti kesukarelawanan dan terus menyumbang khidmat
kepada masyarakat.
Terdahulu
dalam sembah alu-aluan, Yang Berhormat menyembahkan, keberangkatan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke sambutan itu mencerminkan
keprihatinan dan pemedulian baginda terhadap apa jua isu dan
perkembangan belia.
Sembah
Yang Berhormat lagi, keberangkatan itu setentunya akan memberikan makna
yang tersendiri dan akan menjadi ristaan kepada para belia di Negara
Brunei Darussalam, di samping menyuntik semangat kepada para belia untuk
terus giat menggandakan usaha dalam menyumbangkan idea dan tenaga bagi
sama-sama mencapai matlamat utama DBNS 2020-2035 serta Wawasan Brunei
2035.