Oleh
: Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd
Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Azmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri
Haji Awang Abas, Mohammad Hanif A. Halit
BERAKAS, Selasa, 1 Ogos. -
'Belia dan Negara Berpisah Tiada' ungkapan itu dilihat sangat relevan
dengan Golongan Belia yang merupakan peneraju negara, selain golongan
belia juga turut membuktikan bahawa mereka adalah ejen perubahan masa
depan dan mampu untuk merealisasikan 'Apsirasi Negara' menjelang tahun
2035.
Oleh
itu, Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) pada setiap 1 Ogos adalah
merupakan pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan, pencapaian dan
kejayaan golongan belia dalam pembangunan negara.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam bertitah demikian pada Majlis Sambutan HBK Kali Ke-18 yang
bertemakan 'Belia Siaga Masa Depan' yang berlangsung di Dewan Plenary,
Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.
Dalam
titahnya, baginda juga melihat sumbangan golongan belia itu boleh
merangkumi banyak bidang seperti bidang ekonomi, digital, inovasi
sosial, agri-bisnes, industri kreatif, kesukarelawan dan kemasyarakatan,
bahkan juga penggubalan dasar.
Golongan
Belia juga tambah baginda, sudah dilihat mempelopori pelbagai bidang
keusahawanan sama ada dari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana.
“Beta
difahamkan, lebih kurang 17 ribu belia adalah berdaftar di bawah
Bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama Perniagaan (ROCBN). Perkembangan
ini sangatlah memberangsangkan," titah baginda lagi.
Dalam
pada itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga bertitah agar para belia
dikehendaki lebih berani untuk tampil ke hadapan dan keluar dari
'comfort zone' dengan mengorak langkah lebih jauh bagi menembusi dan
menguasai pasaran serantau dan antarabangsa, yang banyak menawarkan
peluang dan cabaran untuk memanfaatkan platform-platform yang telah
disediakan oleh pihak kerajaan melalui beberapa perjanjian dan
memorandum persefahaman dengan beberapa buah negara untuk memudahkan
kerjasama dalam bidang-bidang perniagaan dan pelaburan.
Dari
aspek kepimpinan, baginda menyambut baik penglibatan aktif belia dalam
dialog dan penggubalan dasar di peringkat kebangsaan mahupun serantau.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia bertitah kerajaan akan terus menyediakan
platform-platform yang berkesan seperti Kongres Belia dan Youth Town
Hall serta penglibatan dalam forum dasar serantau sebagai ruang untuk
menyuarakan idea bernas dan 'Aspirasi Belia'.
“Baru-baru
ini, kita berbangga dengan kejayaan belia kita memenangi ASEAN Prize
Award buat pertama kalinya. Di samping itu, atlet-atlet belia juga
berjaya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat dalam kejohanan
sukan prestasi tinggi pada Kejohanan Asia Tenggara (SEA Games) Ke-32 dan
ASEAN Para Games Ke-12, di Kemboja," titah baginda.
Walau
bagaimanapun tegas Kebawah DYMM, adalah diingatkan dalam mengejar
kejayaan, golongan belia hendaklah tetap mengekalkan ciri-ciri
kebruneian 'Berakhlak Mulia', dengan mematuhi dan menghormati
hukum-hukum ugama dan undang-undang.
“Kita
tidak perlu merasa rendah diri atau terpinggir jika tidak menyertai
satu-satu jenis sukan yang tidak dibenarkan oleh Ugama atau
Undang-undang. Inilah prinsip Brunei," tegas baginda lagi.
Sebelum
mengakhiri titah, bersempena dengan HBK ini, baginda turut mengucapkan
setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas
komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.