Penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia bagi tahun 2024 ialah Yang Mulia Awang Mohammad Ashmeer Imtiaz Ahmad. Penerima ini merupakan seorang pemimpin muda yang telah banyak menyumbang bakti dalam kerja-kerja kepimpinan, kebeliaan, kesukarelawan dan kemasyarakatan. Beliau pernah menjawat Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Persatuan Mahasiswa Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam dengan memimpin seramai 1,000 hingga 2,000 orang mahasiswa dan mahasiswi. Sikap dedikasi kepimpinan beliau ini terserlah semasa negara dilanda penularan wabak COVID-19, ditambah dengan situasi tekanan kekurangan pekerja dan sukarelawan bertugas dalam pengagihan catuan makanan pada ketika itu, membuatkan beliau berani mengambil alih tugas mengetuai, mengendalikan dan menggerakkan pengagihan catuan makanan di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong. Beliau telah berjaya membantu menghantar makanan kepada lebih 430,000 orang individu, iaitu lebih daripada 101,000 buah rumah dengan mencapai 2,670 buah rumah sehari. Memegang jawatan selaku Ahli Pasukan Teras dan Mentor di bawah Young Professionals Network, beliau juga telah berjaya memimpin para belia dalam sama-sama membangun belia di negara ini dengan memberikan ruang dan peluang kepada belia-belia untuk berinteraksi bersama pemimpin-pemimpin di peringkat tinggi menerusi platform Youth Town Hall dan Youth Forum Brunei. Sehingga kini, beliau terus aktif selaku pemimpin dalam menjalankan kerja-kerja memberikan khidmat bantuan sukarelawan.